Tip Sihat Minda dari Tony Buzan
October 14th, 2008 | by Fadzli Yusof |Baru-baru ini saya berpeluang untuk menghadiri satu ceramah yang dikendalikan oleh tokoh pembangunan minda, Mr Tony Buzan. Beliau telah menulis 95 judul buku berkenaan dengan potensi minda. Beliau adalah Presiden Mind Sport Council dan pengasas kepada idea Radiant Thinking dan Mental Literacy. Antara ideanya yang paling terkenal ialah Mind-Map, iaitu yang kita selalu sebut sebagai Peta-Minda. Jangan terkejut, aplikasi Mind-Map bukan sahaja untuk pelajar sekolah-IPT, tetapi ianya juga sungguh berguna kepada kecemerlangan kerjaya-profesion. Bahkan Al Gore menjadikan Mind-Map salah satu tool pengurusan diri yang sungguh berkesan!
Saya tidak mahu mengulas panjang tentang Mind-Map. Sekadar ingin berkongsi dengan anda beberapa isi penting dalam ceramah beliau. Antara idea menarik yang dikongsikan ialah; lima tip mudah untuk mengekalkan ’keremajaan’ potensi minda seseorang, iaitu:
1. Pembelajaran sepanjang hayat.(Life-long Learning): Tony Buzan berkata, otak tidak pernah ‘pencen’. Ia akan sentiasa berusaha untuk bergerak maju ke depan. Tugas kita ialah untuk meneroka sesuatu yang baru, dan mencari kemungkinan potensi minda yang berterusan.
2. Merangsang indera (Sensory Stimulation): Ramai yang memandang, tetapi tidak melihat, ramai yang mendengar, tetapi tidak meneliti. Ramai yang menyentuh, tetapi tidak merasai. Ramai yang merasa, tetapi tidak mengecapi. Dan ramai yang bercakap, tetapi tidak berfikir. Hayati maklumat yang diterima oleh pancaindera, dan rangsanglah setiap deria anda!
3. Persahabatan-perhubungan-cinta-kasih: Berbahagia bersama keluarga dan menjalinkan hubungan yang betul adalah sangat penting untuk ’keremajaan’ minda. Laburkanlah untuk kebahagiaan keluarga, ia juga pelaburan kepada potensi diri anda!
4. Oksigen: Pastikan anda mendapat oksigen yang cukup. Bernafas dengan sempurna, dan bina kecergasan diri. Tony Buzan menyebut, badan yang sihat akan menghasilkan minda yang sihat (seperti pernah ku dengar kata-kata ini, tetapi di mana ya?).
5. Jaga pemakanan. Makan makanan yang berkhasiat. Good food = good brain. Junk food = Junk brain!. Itu kata Tony Buzan. Jaga pemakanan yang benar-benar berzat dan baik untuk otak. Bagaimana pula dengan fast food? Fast brain?
Ada lagi beberapa tip yang menarik. Jika ada keluangan, saya akan kongsikan dengan anda semua. Selamat menjaga minda, selamat menjana kecemerlangan!
26 Responses to “Tip Sihat Minda dari Tony Buzan”
By e_pai on Oct 14, 2008 | Reply
Ini barulah benda yang boleh kita contohi dari orang barat.Bukannya cara mereka berpakaian dan sebagainya yang tak senonoh.Syabas saudara Fadzli kerana sanggup berkongsi pengalaman anda untuk semua pembaca.TERIMA KASIH.
By Fitri Shukri on Oct 14, 2008 | Reply
Cara orang Barat pakai pun OK aper?
Yang dikatakan ‘tak senonoh’ itu ada dalam setiap bangsa dan tamadun. Pakai berkemban basuh baju tepi sungai tu bukan tak senonoh jugak ke? Jangan main hentam Barat jer.
Islam itu tidak di Timur mahupun di Barat.
ps. Fadzli, ceramah Tony Buzan tu free ke? Yang dianjur UTAR ke?
By abdullah bin ali on Oct 14, 2008 | Reply
Tokoh minda yang sebenar bukan manusia akhir zaman yang diwar-warkan hari ini.
Tokoh minda insan yang agong adalah tidak lain dan tidak bukan adalah Nabi Muhammad s.a.w.
Beliaulah yang mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliah kepada terangnya cahaya (iaitu Islam).
Tiada makhluk manusia yang dapat menandingi Baginda s.a.w. Penuh kehebatan dan nur petunjuk yang sempurna sebagaimana dikehendaki oleh Khalik.
Tiada kesilapan kerana maksumnya. Mindanya penuhi motivasi sepanjang zaman. Mindanya minda kelas pertama di dunia dan diakhirat.
Tiada siapa dapat boleh mengangkat ibu jari, melainkan setelah mendapat restu dari Baginda s.a.w. Lalu dituangkan dengan tangannya yang mulia akan air telaga kausar.
Barangsiapa dapat meminumnya kekal hilang dahaga buat selama-lamanya.
Manusia yang agong-agong hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah sia-sia belaka. Semuanya menyesal kerana percaya kepada mereka. Minda mereka minda kelas bawahan melain mengambil kira minda Nabi s.a.w. dalam setiap urusan dan kehidupan.
Inilah orang-orang yang bahagia.
By e_pai on Oct 15, 2008 | Reply
Memang Islam ada di Timur dn Barat tapi orang Barat yang Yahudi telah mengatur pelbagai cara yang efektif untuk merosakkan jati diri anak Melayu dan orang Islam.Kalau pada fikiran saudara Fitri,cara mereka berpakaian itu OK, pernahkah saudara terfikir itukah budaya kita? Apakah itu yang diturunkan oleh nenek moyang kita yang telah berjuang bermati-matian untuk membebaskan Tanah Melayu ni daripada penjajah barat.Memang berkemban untuk basuh baju di tepi sungai tu tak senonoh,tapi tu bukan adat dan budaya kita.Hanya pakaian yang digunakan iaitu kain batik tu budaya kita.Habis tu,takkan orang dedulu nak basuh baju tepi sungai kena suruh laki dia beli bikini kot? Orang lelaki tak pelah boleh ikut budaya barat,pakai t-shirt,jeans.Tapi orang perempuan tak boleh pakai jeans sebab seluar tu ikut lurah badan.Memang yang dikatakan tak senonoh tu ada dalam setiap bangsa meskipun bangsa Melayu terkenal dengan kesopanannya,namun itulah yang patut kita kawal.Bukannya secara membabi buta terus ikut budaya luar.Kalau gaya Barat tu senonoh,apsal ada yang bertindik, buat rambut macam penyapu, pakai rantai.Itu lagi teruk tau tak.Ini kerana nabi dah haramkan umat baginda yang lelaki dari memakai sebarang perhiasan daripada emas.Tapi sekarang ramai yang mencontohi perangai orang jahiliah, ada lelaki yang suka sesama lelaki dan perempuan yang meminati kaum sejenis.Itu budaya barat la jugak.Kalau betul budaya barat tu patut diagungkan, tampaknya Hang Tuah telah salah. Ini disebabkan ramai orang melayu yang sudah hilang jati diri dan lebih berminat menjadi orang barat yang pernah menjatuhkan takhta kesultanan Melaka yang samapi sekarang tidak bersultan.
By abdullah bin ali on Oct 15, 2008 | Reply
Pelayar maya budiman,
Jangan samasekali tergoda adat-adat yang diwujudkan oleh manusia akhir zaman hari ini.
Tiada satu benda yang dapat memberi manafaat.
Allah sememangnya menyediakan 2 jalan untuk manusia pilih iaitu;
i. Jalan Kebaikkan.
ii. Jalan kejahatan.
Jalan tengah sememang tidak ada, kalau ada juga ianya adalah dipanggil ‘munafik’.
Jadi sebelum bercerai nyawa dari badan pilihlah jalan yang dibenarkan iaitu jala kebaikkan, bukan jalan kejahatan.
Jalan baik ini telah disediakan Allah dalam kitab suciNya iaitu AlQuran. Manakala petunjuknya Allah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. mewujudkan contoh diatas muka bumi ini. Supaya manusia tidak keliru lagi sehingga berlakunya kiamat.
Lain-lain jalan, budaya, ideologi dan sebagainya pendapat adalah terkeluar dari kata nama ; ‘KEBAIKKAN’.
Fikir-fikir dan renunglah dalam-dalam. Mudah-mudahan diberi Allah petunjuk dan jalan. Insya Allah Taala…..
By k Wan on Oct 15, 2008 | Reply
al-’aqlus salim fil jismis salim- aqal yang sihat datang dari badan yang sihat
By abdullah bin ali on Oct 16, 2008 | Reply
Motivasi yag dibawa oleh ulamak Islam cukup bernas hasil mujahadah yag berterusan ingi melihat Agama Allah berkembang biak diatas muka bumi ini.
Allah menagih amanah yang cukup tinggi untuk manusia melaksanakannya.
Namun manusia ramai yang gagal. Amanah Allah diabai, sebaliknya amanah nafsu dijunjung tinggi-tinggi. Padahal semua yang dicinta dan dicita itu adalah kesamaran dan sia-sia.
Setelah memiliki habuan nafsu, keseronakkan, kekayaan, kemasyhoran, pangkat dan kedudukkan akhirnya tinggal diatas muka bumi. Jasad kerdil sebaliknya diusung keliang lahad.
Apa makna pencarian dan larian dunia yang diburu selama ini. Berakhir menyesal buat selama-lama disisi kemurkaan Allah kerana gagal menjalankan tugas sebagai seorang manusia. Manusia yang dilantik khalifah atas muka bumi ini.
Samada memerintah bagi kerajaan diri, keluarga maupun negara. Meraung-raung memohon daripada Allah supaya dihidupkan kembali untuk melaksanakan amanah (kebaikkan) meskipun kadar sesaat.
Dalam saat yangmana nyawa masih diberi oleh Allah berurusan dengan jasad yang serba kendur ini, marilah cari kebenaran dan bina bekalan yang sempurna untuk sampai kepada Allah. Mudah-mudahan tidak menyesal sebagaimana orang-orang yang menyesal…..
By Abu Imran At-Takiri on Oct 18, 2008 | Reply
Assalamualaikum Saudara Abdullah bin Ali,
Tulisan saudara melambangkan peribadi saudara yang keras dan pegangan saudara yang teguh. Sayangnya dalam usaha dakwah ia perlu cara yang lebih halus dan berhemah. Sebab bangsa Melayu berbeza adat dan budayanya dengan bangsa Arab. Kalau begitulah cara saudara sukar untuk saudara membawa orang kepada kebaikan.
Penulis blog dan mereka yang memberi komen di sini tidak mempersendakan Islam. Dia cuma memberikan input-input positif dari apa yang dipelajarinya dari seorang barat. Kalau dulu barat mencari ilmu hingga ke Kota Baghdad kini keadaannya sudah terbalik kesan dari perang salib dan kejatuhan Empayar Uthmaniah.
Tidak salah mengambil ilmu yang baik dari barat yang salahnya kalau berkiblatkan barat. Pelajari semula apa yang telah mereka curi daripada kita dan martabatkan semula kehebatan ilmu kita.
Wallahua’lam.
By abdullah bin ali on Oct 28, 2008 | Reply
Saudara Abu Imran, sesungguhnya nafsu itu adalah musuh nombor satu bagi tiap-tiap diri. Kerasnya berdasarkan kerasnya hati seseorang yang telah ditutupi karat. Justeru itu untuk menanggalkan karat itu sendiri perlu diketuk dengan kuat.
Sebagaimana tukang ketuk bodi kenderaan bukan main gosok aje untuk proses menjadikan badan kereta itu baik hingga berkilat semula.
Begitulah diri manusia perlu proses yang lebih ketat dan padat bagi membentuk dan membina diri untuk menjadi muslim sejati.
Inilah tujuan Nabi Muhammad s.a.w. diutus atas muka bumi ini. Hidup ini bukan satu permainan, hidup ini adalah realiti.
Jangan tergoda dengan tipu daya musuh. Setiap saat sekelian musuh Islam berusaha untuk menghancurkan Islam seinci demi seinci.
Kekuatan Islam bergantung kepada kekuatan Iman. Kekuatan yang lain sesungguhnya tiada asas untuk berhadapan dua negeri iaitu dunia dan akhirat.
Janganlah keruh sangat dengan kebenaran Islam. Jangan sekat batas fikiran hingga terlindung perkara yang sebenar. Islam tidak pernah tutup pintu ilmu tapi biarlah bebetulan dengan wakiq. Awas! jangan sampai tergelincir akidah akibat terpesona sebab dan musabab.
Sesungguhnya sebab musabab itu sendiri diatur oleh Allah untuk melihat hambaNya samada nampak usaha atau nampak Allah.
Kalau keyakinan kepada sebab boleh memberi bekas inilah yang memberi mudharab. Ana cuma beringat terserah mana yang hendak dipakai.
By abdullah bin ali on Oct 29, 2008 | Reply
Semua manusia hidup atas muka bumi ini inginkan kebahagiaan. Peta hayatnya penuh lakaran cita-cita. Perancangan minda sentiasa optimis dengan setiap usaha yang dijayakan termasuk pelan tindakan yang bakal disempurnakan.
Namun berapa peratus sahaja berjaya mencapai matlamat. Selebihnya bersimpang siul meredah lebuhraya kehidupan. Jalan kejayaan diperolehi hanya berbetulan dengan material sahaja, namun sosial dan pegangan hidupnya rosak. Ada sesetengah sosialnya nampak cantik. Namun hakikat pekerjaannya gagal tiada jalan balik.
Manusia akan tercari-cari kerana belantara dunia ini sesungguhnya tiada petunjuk. Kompas yang ada hanya satu iaitu petunjuk Nabi Mihammmad s.a.w. Petunjuk Nabi s.a.w. terlalu seni lagi halus. Tidak banyak minda manusia yang awam mampu menyelaminya. Lalu pegangan umat Islam dizaman ini kusut, lemah dan gementar. Penuh kebimbangan, keliru dan matlamat sebenar semakin terhakis. Dihakis oleh kemajuan dunia yang mewarnai bukan lagi hakikat Islam yang sebenar. Jadi kesan roh Islam yang dijana Junjungan Nabi s.a.w. semakin pupus lantaran manusia semakin lupa dan lalai. Tiada taruhan harapan kepada kebenaran lagi meskipun hati sentiasa meronta-ronta mengharapkan cahayanya.
Manusia menyangka perlumbaan dengan orang bukan Islam menjadi matlamat. Walhal semua matlamat yang dibina, dikumpul dan dicari itu akan hancur apabila tamadun dunia hari ini akan dipadamkan dengan kiamat. Samada kiamat diri dinamai mati yang sedang berlaku keatas tiap-tiap diri yang bernyawa atau kiamat sebenar yang akan memadam dan menghancurkan langit dan bumi kesudahan alam ini.
Benarlah penjelasan Baginda Junjungan s.a.w. kepada sahabat-sahabatnya, Sabdanya ;
‘ Sesungguhnya umat Nabi Musa a.s. telah berpecah kepada 72 puak (pegangan akidah). Manakala umatku diakhir zman akan berpecah kepada 73 puak. 1 puak mengikut jalan Sunnahku ke Syurga dan 72 puak lagi akan terhumbang kedalam jurang api Neraka’…..Nauzubillah.
Justeru itu, marilah sama-sama kita menghayati dan ulangi kembali jalan yang satu itu. Sesungguhnya jalan mulia ini penuh kepahitan lagi pedih berisiko sebagaimana sejarah perjalanan yang pernah Nabi Muhammad s.a.w. harungi dan tempuhi sepanjang hayatnya lebih 1,400 tahun yang lalu.
Kembalilah kepada Fitrah Kejadian.
By abdullah bin ali on Nov 4, 2008 | Reply
Assalamualaikum…..h. Abu Imran At-Takiri,
Kenapa kasih sangat ke barat sampai merasa begitu kehilangan. Apalah ilmu yang barat curi. Walhal banyak lagi ilmu yang masih tersimpan dalam Al-Quran & Hadis Rasullah s.a.w.
Kenapa tidak dicarigali dan masih berharap kepada barat untuk dicuri ilmunya. Ilmu apa yang keponan sangat hendak dicuri. Sesungguhnya ilmu yang lahir hari ini semuanya telah termaktub dalam Al-Quran 1,400 tahun yang lalu termasuk lagi akan berlaku dan dijumpai. Seterusnya segala perkara sam’iyat semua jelas dinyatakan.
Tak payah pakai barat, Islam telah sempurna samada ditimur atau dibarat.
By abdullah at-tikari on Nov 5, 2008 | Reply
Mana ada ilmu barat atau timur. semua ilmu milik Allah. orang barat hanya mengkaji dan menyusunnya. bagi saya, kalau apa yang barat buat itu ada faedah dan tidak bercanggah dgn syariat, tiada kufur kita mengambil manfaat. jika tidak, haramlah kita menggunakan komputer ini, sebab komputer dan internet bukannya hasil teknologi para huffaz dan muhaddithin.windows xp yang diguna skrg pun milik intelektualnya pada Bill Gates. adakah orang yang mengambil faedah daripada xp sudah dianggap berkiblatkan barat?
rasanya rugi jika terlalu berfikiran keras dan mempunyai sudut fikir yang kaku.
By abdullah bin ali on Nov 6, 2008 | Reply
Tidak ada satu benda yang melata diatas muka bumi ini, melainkan semua Allah sediakan untuk memberi manafaat kepada manusia. Itu adalah hikmat disebaliknya, namun Allah suruh kita pilih.
Kejadian ini diatur begitu sempurna. Namun yang terhijab, meletakkan sesuatu harapan kepada makhluk. Menjadikan musuh-musuh Allah idola mereka. Bukan salah guna barangan ciptaan orang bukan Islam. Sememangnya apa yang kita guna seharian ini pun datang dari berbagai sumber.
Semua ini telah diatur oleh Allah hatta zarah yang berterbangan. Tapi janganlah sehingga lupa fitrah diri. Datang dari tanah dan baik kepada tanah.
Fikiran keras adalah fikiran yang menolak kebenaran. Fikir yang kaku tanyalah orang telah mati. Rugi itu terlepas waktu kerana luput ingat kepada Allah bukan rugi dalam perniagaan.
Jangan jadi sombong…….. bercakaplah dengan diri……..siapa diri? tujuan apa hidup diri? dimanakah kesudahan diri?
Jangan perlekeh alim ulamak Islam terdahulu. Mereka adalah pewaris Nabi. Kedudukan mereka lebih indah…… kita masih lagi belum tentu…… nauzubillah.
Kemuncak syukur! kita ditinggal Rasullah saw. tapi masih sampai seruan, meskipun telah ditinggal Baginda s.a.w. lebih 1,400 tahun yang lalu. Siapakah penyambungnya…….
Renunglah dalam-dalam, tidak mendapat apa kehebatan disisi Allah dengan memilik sebuah pc, sebab orang-orang soleh yang telah mengadap Allah spt Imam Ghazali, Imam Syafei dll tidak pernah kenal komputer tapi dialah bapa hujjah pemimpin mazhab Islam terkemuka.
Jangan kurantin fikiran yang sihat sehingga boleh menjadi sakit.
By abdullah at-tikari on Nov 6, 2008 | Reply
Benar sekali.
Mengkritik itu jauh lebih mudah daripada memakmurkan alam dan menjadi khalifah Allah.
Mari kita mengkritik dan saling berhujah sesama muslim, kerana mengkritik menjadikan kita merasa seronok dan hebat. Bila orang lain tak betul, terasa seperti kita sentiasa di jalan yang betul. Kita akan terasa seperti yang paling bertaqwa, apatah lagi kalau kita gunakan bahasa-bahasa berbunga tasauf.Sedangkan orang kafir juga akhirnya yang saling mengiktiraf sesama mereka, saling bekerjasama dan tolong menolong. Mari kita mencipta takwa dan tamadun dengan mengkritik kebaikan orang.
Kritiklah tulisan ini, supaya anda berasa semakin hebat
By abdullah bin ali on Nov 9, 2008 | Reply
Banyak sangat baca buku tulisan manusia. Lupa @ rasa terlalu jauh untuk mentelaah firman Allah dalam Al-Quran.
Susah untuk memberi nasihat. Kasih sayang sudah disangka kebencian. Kebenaran sudah ditukar nama dan maana.
Carilah jalan selagi nyawa dibadan. Pakailah pakaian tamadun, biar pun belum tentu dapat membalut tubuh yang kerdil apabila bertamu dengan Allah nanti.
Takwa bukan rasa, tapi keimanan……..
Bukan kata, tapi yakin……
By abdullah bin ali on Nov 11, 2008 | Reply
Sejarah Abu Jahal dan Abu Lahad sungguh tragis. Manusia yangmana awalnya seorang dipandang hebat, tapi akhirnya menemui kegagalan.
Bilamana Nabi Muhammad s.a.w. diperanakkan oleh ibunya Siti Aminah pada hari Isnin 12 Rabiul Awal tahun gajah, mereka berdualah manusia yang paling gembira kerana kelahiran Baginda s.a.w.
Dimasyhorkan seluruh kota Mekah berarak bersama datuk Rasullah s.a.w. (Abdul Muttalib) mengelilingi Kaabah.Dijamukan makan minum kepada penduduk Mekah kerana kelahiran Muhammad s.a.w. Manakala digelar nama baginda saw. dengan panggilan ‘Al-Amin’. Meletakkan anak saudara tinggi dipuncak bangsawan kerana kedua mereka adalah pembesar Quraisy dan penguasa Kaabah. Sampai satu ketika bilamana berkelahi suku kaum Quraisy bagi meletakkan Hajatul Aswad pada binaan Kaabah, lalu dipilih Baginda s.a.w. sebagai Hakimnya walaupun usia Rasullah saw. ketika itu baru berumur 10 tahun.
Namun bilamana seruan tauhid disampaikan kepada Abu Jahal dan Abu Lahad dengan cahaya Islam, kedua-duanya menolak mentah-mentah dan menentang habis-habisan sampai tercabut roh dari jasad. Meskipun yang memberitahu jalan kebenaran ini adalah anak saudaranya sendiri yang satu ketika paling dikasihi. Ini telah dijelaskan oleh Allah dalam Al-Quran, Surah Al- Lahad. Betap beliau masih lagi hidup keinapan (menentang kebenaran)Abu Jahal/Abu Lahad terlebih dahulu Allah jelaskan kesudahannya biarpun mereka masih belum lagi mati.
Nauzubillah……
Carilah kebenaran dan ketemuilah jalan yang lurus ini sebagaimana maksud Sab’ummasani, ayat 4, yang diulang-ulang dalam sembahyang 17 kali sehari semalam.
Wallahualam.
By abdullah bin ali on Nov 13, 2008 | Reply
Ketahuilah sekelian orang-orang beriman,
Hari ini musuh Islam adalah orang-orang Islam sendiri. Perkara ini terjadi bukan kerana Islam tapi kerana keimanan tidak tulin.
Hati berbelah bagi. Realiti kehidupan dijadikan pertaruhan. Mengaku beriman tapi dalam masa yang sama keyakinan kepada yang lain masih tebal.
Inilah terjadi kepada umat Islam hari ini. Ketulinan Islam tiada lalu bagaimanakah Allah Taala berserta dengan mereka?
Hidup tiada istiqomah. Buat ibadat ketika susah. Bila sibuk semua lupa. Ibadat kepada Allah ketika ketika. Bulan Ramadhan bukan main sibuk dengan terawih. Bulan-bulan lain tidak cukup masa cari harta. Inilah dunia……
By Abu Imran At-Takiri on Nov 15, 2008 | Reply
Waalaikumusalam dan Assalamualaikum Saudara Abdullah bin Ali.
Hebat sungguh tuan berbicara di sini hinggakan salam saya beri tidak bersambut. Sedangkan menjawab salam itu wajib hukumnya.
Itulah kita apabila terlalu mahu berhujah hingga lupa apa yang patut dilakukan dahulu.
Semua mereka yang hadir di sini orang yang boleh berfikir dan menimbang. Disamping tulisan saya ini tulisan tuan turut dinilai sama. Saya tidak suka kepada perdebatan sebab itu bukan kaedah yang diajar oleh Nabi S.A.W. Islam itu indah dan pendekatan Nabi S.A.w dalam berdakwah juga indah. Yang jahil, lain caranya. Yang berakal, lain pula pendekatannya. Yang sudah faham agama lain pula kaedahnya. Tiada satu pendekatan untuk semua.
Sekian.
By abdullah bin ali on Nov 16, 2008 | Reply
Salam sejahtera sekelian mereka yang beriman, berjumpa lagi dimaya ini.
Marilah kita renung seketika.
Kata Imam Al-Ghazali ;’ Jika sekiranya manusia tidak mengikut hawa nafsu, nescaya mereka dalam sejahtera dan berada dalam kebajikkan.’
Jelas semua penyakit sosial dan tidak selesa dengan orang lain yang dihadapai oleh manusia hari ini adalah berpunca daripada nafsu. Tiada peraturan yang dapat mengawal nafsu samada anak muda, orang dewasa dan orang-orang tuan yang sudah hampir senja. Kebanyakkan mereka melayani hawa nafsu.
Benarlah firman Allah dalam Al-Quran; ” Sesungguhnya nafsu itu amat menyuruh kepada kejahatan”.
Jika kita mengkaji dengan teliti nafsu bisa mengundang seribu kemungkinan masuk dalam liku-liku maksiat. Nafsu boleh merubah segala keindahan. Nafsu boleh meruntuh intelektual. Nafsu boleh meruntuh bangunan-bangunan yang tinggi. Nafsu boleh menjadi raja jika diberinya takhta.
Akhirnya setinggi-tingi nafsu merasai diri lebih dari orang lain dan termasuklah nafsu bersama-sama orang-orang yang rugi.
Jadi jangan bercakap dengan nafsu dan bercakaplah dengan kebenaran.
By abdullah bin ali on Nov 18, 2008 | Reply
Salam untuk semua muslimin yang masih diberi Allah akan kehidupan. Syukur kerana boleh lagi bernafas dan diberi kekuatan oleh Allah untuk berkata-kata diwarung usang ini.
Hari ini semua manusia boleh membaca. Membaca mengikut apa bahasa yang dipelajari dan diwarisi turun- temurun.
Lalu ayat Allah yang pertama juga disempurnakan dengan baca iaitu ‘Iqra’. Tapi ilmu baca apakah yang Allah Taala suruh Nabi saw. baca ?
Firman Allah surah Al-Alaq ayat 1 yang bermaksud;’ Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan.
Inilah bacaan yang sebenar. Bukan baca ikut diri hendak baca. Betapa indah Islam mengajar umatnya, supaya mendapat ilmu yang baik dan dapat memberi faedah akan kehidupan dua negeri (dunia & akhirat).
Allah mengajar manusia supaya tidak lupa padaNya. Sentiasa memandang akan sesuatu samada termasuk dalam suruhnya atau tergelincir dalam tegahnya. Inilah akhlak terpuji yang menjadi sajian orang soleh-soleh dimana mereka berada.
Mereka tidak menyebut sesuatu sebelum menyebut nama Allah.
Hari ini manusia boleh lakukan perkara baik, tapi dalam masa yang sama mereka juga adalah mahir dalam perkara yang buruk. Kenapakah berlaku sedemikian? Ini adalah kerana berpunca dari jauhnya menyebut nama Allah dan menjadikan habuan diri sebagai tanggungjawab utama.
Bukan lagi bertanggungjawab kepada Allah sebagai agenda utama kehidupan.
Ingatlah dunia ini tidak kemana? Semuanya berkahir dengan mati….. Ingatlah pada Allah banyak-banyak sebanyak nafas yang keluar dan masuk. Mudah-mudahan mati yang datang diantaranya nanti tidak melalaikan hati dengan pertemuan denganNya.
Wallahualam.
By ah sue muslim on Mar 29, 2009 | Reply
orang melayu kalau bab mengkritik dan manjatuhkan orang lain memang paling hebat..
By coco on Jul 9, 2009 | Reply
Betul tu org Melayu kita kalau mengkritik cukup hebat cthnya si Abdullah Bin Ali tapi tak pulak dpt menghasilkan falsafah2 dan pemikiran, Idea dan cadangan yang berguna seperti Tony Buzan. Aku cadangkan Abdullah Bin Ali tu tolong baca dulu buku daripada Tony Buzan tu sebelum melalut pjg lebar.
Belajarlah ilmu yang baik walaupun dari bangsa yg bukan Islam sekalipun. Semua ilmu tu datang dari Allah jugak yang penting kita hendaklah berusaha untuk mencarinya. Org barat berusaha untuk mencari ilmu tersebut maka merekalah yg mendptnya.
Tapi kalau asyik kritik saja tanpa mahu berfikir apapun tak dpt.
By abdullah bin ali on Sep 1, 2009 | Reply
Hidup atas dunia fana ini adalah satu ujian. Dalam usaha kita menyampaikan pandangan kebaikan sememang diuji dengan berbagai fitnah dan tomahan. Lebih-lebih lagi perkara yang datang dari perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. dan sisi Allah swh.
Beginilah terjadi ketika Rasulullah s.a.w. mendedahkan kebenaran Islam. Dicaci maki dan umpat keji yang panjang oleh puak-puak Quraish jahiliyah. Inat (ingkar) menerima kebenaran.
Begitu juga hari ini, jalan kebenaran sudah menjadi jalan-jalan berduri dan berapi. Tapi bagi orang-orang yang berharap jalan-jalan seni kepada persinggahan hakiki. Inilah sahaja rupa sabar yang banyak sekali difirmankan oleh Allah dalam Al-Quran.
Orang yang sentiasa mengharap reda Allah akan seronak bila nafsunya dipukul dengan petunjuk kebenaran. Kehendak Allah lebih diutama, sebagaimana Ramadhan yang kita kecapi dimana lapar dan dahaga menjadi pilihan. Sepatutnya kenyang itulah yang menjadi kecintaan diri nafsu tapi diabaikan kerana Allah suruh berlapar dan berdahaga.
Namun dalam hal-hal kehidupan yang lain, kenapa kehendak Allah sentiasa dipertikai. Lupa pada tanggungjawab dan amanah yang ditentu oleh Allah.
Akhirnya bila dilontar ilmu kebaikan untuk capai tareqah kepada Ilahiah disanggah sungguh-sungguh. Tanpa disedari sudah berkongsi kasih kepada Allah sekutu dengan kasih kepada makhluk. Nauzubillah..
By abdullah bin ali on Sep 15, 2009 | Reply
ah sue n coco selamat hari raya aidilfitri……
banyak ke buat kueh tahun ni. kalau tahu rumah boleh jugak gi beraya.
bercakap dekat-dekat tambah lagi mesranya.
moga-moga puasa tahun nin lebih hampir lagi jalan petunjuk Ilahi. Insya Allah.
By hang_jebat on Nov 18, 2009 | Reply
janganlah terlalu fanatik dan ekstrim dlm sesuatu kerna ia bisa mebutakan mata-hati serta akal pertimbangan yg waras.
Islam adalah utk semua, tidak barat atau timur, Yang telah mengenal Islam mesti memperkenalkan pula kepada yg belum kenal.
itulah amanah besar terhadap kamu wahai orang2 yg mengaku beriman.
By salDeen on Jan 22, 2010 | Reply
setelah memerhati penghujahan masing2, maka saya membuat kesimpulan bahawa sekiranya kita kurang berilmu, bukan lah mudah untuk mematahkan hujah orang-orang yang berilmu yang bersandarkan al Quran dan Al Hadith. Oleh itu, kepada sesiapa yang rasa terpukul dengan sesuatu penghujahan, jangan cepat melenting, tetapi teruskan mempelajari ilmu yang ada kerana minda seseorang itu tidak pernah pencen dari terus menerima ilmu.
Bukan sekadar kita perlu memahirkan diri dengan ilmu sekular semata-mata, tetapi mahirkan juga ilmu akhirat yang akan membawa kebahagiaan kepada kita samada di dunia maupun akhirat. Kepada yang rasa terpukul dengan penghujahan yang bernas tersebut, persiapkan diri dengan kedua- dua bidang ilmu dunia dan ilmu akhirat.
Penghujahan yang bernas adalah melambangkan ketinggian ilmu seseorang… jadilah jenerasi Ulul Albab..sentiasa berfikir tentang kejadian alam dan hikmah darinya serta mensyukuri nikmat Allah setiap masa dan ketika walau dimana pun kita berada.