Berhati-hati dengan ‘KENAPA’

October 19th, 2008 | by Fadzli Yusof |

Beberapa hari lepas, saya dan beberapa orang rakan trainer sedang bersembang tentang pembangunan modul latihan. Sepanjang pertemuan kira-kira 7 jam itu, ada ketikanya kami menyelitkan tentang isu-isu dan subjek-subjek ’selingan’ yang masih tetap menarik dan memberi manfaat. Antara perkara yang mungkin boleh dikongsikan dalam ruang ini ialah tentang kewajaran menggunakan kata tanya ‘kenapa’ dalam berinteraksi dengan orang yang lebih tinggi hierarki, atau dengan orang yang mempunyai hubungan dinamik. Contohnya, hubungan pekerja-majikan, anak-bapa, penulis-editor, kontraktor-subkontraktor, isteri-suami, dan seumpama dengannya. Hubungan dinamik yang saya maksudkan ialah hubungan yang tinggi tujuannya, kerap interaksinya, dan mendalam emosinya. question_mark.jpg

Dalam hubungan sedemikian, dalam banyak situasi, seseorang yang kurang dominan perlulah berhati-hati menggunakan perkataan ‘Kenapa’ dalam berbicara. Contohnya,

“Kenapa Abang balik lambat?”.Tanya si isteri kepada suaminya. Atau,
“Kenapa kami kena kerja lebih masa hari ni?”. Tanya seorang pekerja kepada majikannya.
“Kenapa mak tak benarkan adik pergi ke rumah kawannya?”. Kata seorang anak kepada ibunya.

Kenapa perkataan ‘kenapa’ mempunyai risiko yang tinggi dalam hubungan interpersonal sedemikian? Kerana, apabila seseorang itu bertanyakan ‘kenapa’, ia seolah-olah mempertikaikan kebijaksaan, hikmah dan kebolehfikiran seseorang itu. Ia seperti menafikan keupayaan ‘fakulti intelektual’ seseorang dalam pemikirannya. Justeru, seseorang itu akan kelihatan seperti tidak lagi mempercayai orang yang dipertikaikan itu. Orang yang dipertikai dengan ‘kenapa’ akan tercabar, dan estim dirinya akan tergugah, kesannya; pasti kecelaruan emosi dan kekecewaan terhadap orang yang menanyakan sedemikian.

Jadi, apa yang patut seorang yang kurang dominan katakan kepada orang yang lebih dominan jika berlaku situasi sebegitu? Apa pandangan anda?

yes_i_do_have_a_question.jpg

  1. 10 Responses to “Berhati-hati dengan ‘KENAPA’”

  2. By mamanusayr on Oct 20, 2008 | Reply

    menarik.. saya pun mungkin pernah utarakan soalan macam tu pada suami, guru etc. bagaimana cara yang lebih berhikmah utk menggunakan ‘kenapa’? sahabat2 Rasulullah SAW selalu bertanya baginda (dalam bahasa arab :)) bila melihat baginda berbuat sesuatu (atau diam terhadap sesuatu). kita perlu belajar tentangnya.

  3. By Fadzli Yusof on Oct 20, 2008 | Reply

    Kenapa akan berisiko tinggi jika ia digunakan untuk mempersoalkan tindakan seseorang yang ditanyai. Jika ia digunakan untuk bertanya tentang keadaan yang tiada kena mengena dengan orang yang ditanya, itu tiada masalah. Contohnya soalan seperti,

    “Kenapa hari ni jalan sesak ya?”
    “Kenapa daun berwarna hijau?”
    “Kenapa ketua kampung awak buat begitu ya?”

    Para sahabat Nabi adalah contoh kelompok manusia yang mendapat tarbiyah secara ‘live’ daripada pendidik agung itu. Namun, adakalanya mereka juga ada buat silap. Sayyidina Umar pun pernah mengritik keras terhadap Rasulullah sejurus Perjanjian Hudaibiyyah ditandatangani. Sehingga beliau sering berpuasa untuk memohon ampun atas kesilapan tersebut. Ada beberapa lagi contoh yang mungkin kita boleh fikirkan.

    Contoh ikutan terbaik ialah Rasulullah (S) sendiri. Hampir tiada (perbetulkan jika silap), komunikasi Nabi mempertikaikan tindakan, tingkah laku, perlakuan para sahabatnya dengan kalimah ‘limaaza’ (kenapa). Mungkin kita boleh cuba mencari, ada tak Nabi sebut, “Kenapa kamu berbuat begitu … dan begini?” Rasanya takde kan?

    Begitu halus sekali komunikasi Nabi sehingga para sahabatnya pun dijaga perasaan begitu sekali. Padahal, Nabi berada di kedudukan yang dominan, masih tetap berlemah lembut dan menjaga perasaan orang lain.

    Mari luangkan masa tak sampai 15 saat untuk mendoakan kemuliaan dan selawat ke atas Nabi tercinta :)

  4. By Zahan on Oct 22, 2008 | Reply

    Salam,
    Sy setuju.Berhati-hati bila bertanya kenapa,bila dll.Cuma kecilkan saiz question mark itu apabila bertanya dan berseni.Adakalanya suami bertanya kpd isteri yg bekerjaya dan pulang sedikit lewat dr sediakala,contoh;
    Syg,kenapa syg balik lewat hari ni?

    elakkan pertanyaan begini;
    syg?kenapa balik lewat?

    atau bapa bertanya anak;lewat balik hari ni?pergi mana? (molek dok tanpa bertanya ‘kenapa’?)

    kan lain2 bunyinya tuh

  5. By abdullah bin ali on Oct 23, 2008 | Reply

    Persoalan ‘kenapa’ yang sering diterima oleh seseorang dalam apa jua keadaan bagi hamba Allah yang lemah ini merupakan nilai sebuah kasih sayang, perhatian dan komitmen yang berterusan mengatasi kepercayaan yang telah diberi.

    Tanggungjawab sesama pekerja dengan majikan, isteri dengan suami, anak dengan ibubapa dapat dipotensikan.

    Keprihatinan ini mudah-mudahan diantara kita tujuan utama adalah bagi mengatasi kekeliruan atau pemasalahan yang boleh menjejaskan institusi yang ada dalam situasi yang dihadapi.

    Dalam pertembungan perkataan bila diluahkan oleh mana-mana pihak dirasai tidak sempurna. Namun dari segi pembangunan nilai itu sendiri mencerminkan keutuhan minda seseorang untuk melihat kecemerlangan. Supaya keikhlasan, maruah atau imej serta produktiviti sesebuah organisasi atau keluarga itu dapat diintegritikan. Tidak kira luahan itu diperkatakan oleh sesiapa. Asalkan tujuan persoalan ‘kenapa’ itu menepati kebaikkan dan hikmah.

    Dalam masa yang sama keperluan atau kehendak individu perlu diambil kira oleh setiap pemimpin, majikan atau ketua keluarga dalam memenuhi kehendak orang bawahnya selagi mana tidak bercanggah dengan hukum-hukum Allah. Jadi persoalan ‘kenapa’ sering terbicara bagi menguatkan lagi nilai kebajikan yang ada.

    Apakah kecurigaan itu sendiri memberi makna yang tidak selesa bagi mereka yang dinamakan ‘ ketua’ atau ‘ibubapa’?

    Selagi tidak mengatasi syariat Allah perkataan ‘kenapa’ itu boleh digunakan. Tapi biarlah penuh adab dan hikmahnya sehingga melintasi tanggungjawab sebagai seorang insan yang kamil.

  6. By hairunnisak mohamad runi on Oct 24, 2008 | Reply

    pada pendapat saya..kepekaan untuk bertanyakan ‘kenapa’ amat penting kerana ia akan meransang kecenderungan otak kita untuk mendapatkan jawapan bagi satu persoalan dengan syarat ‘kenapa’ yang diutarakan adalah logik..maka ‘kenapa’ boleh membawa kepada sesuatu penyelesaian masalah dan ia akan membuahkan idea-idea yang baik..
    namun jangan pula kita menggunakan ‘kenapa’ pada perkara yang tidak memberi faedah..
    contohnya: Kenapa tidak kita ponteng kerja sahaja hari ini?…
    fikir-fikirkan…
    TQ

  7. By Fadzli Yusof on Oct 25, 2008 | Reply

    Dalam banyak penulisan tentang psikologi, persoalan ‘kenapa’ amat penting untuk mencetuskan ’sense of purpose’. Ada satu kajian yang menyatakan bahawa, dalam otak manusia terdapat satu bahagian yang mengawal aktiviti spiritual, yang mana akan diaktifkan apabila kita bertanya soalan ‘kenapa saya berbuat ini?’, atau ‘apa tujuan saya melakukan ini?’.

    ‘Kenapa’ penting dalam kehidupan. Ia adalah sebahagian rangsangan minda dalam meneliti dan memahami sesuatu. Ia penting dalam mencetuskan minda dalam menganalisa dan menilai sesuatu konsep.

    Dalam perhubungan interpersonal, ia masih berisiko tinggi. Apabila kita ditanya soalan ‘kenapa’, ADA KEMUNGKINAN mewujudkan rasa tidak selesa, dan tercabar.

    =============================================
    Sdri Hairunnisak, kenapa tidak buat huruf besar selepas noktah?

    Sdra abdullah bin ali, kenapa letakkan link yang tidak betul?

    ============================================

    Sekadar contoh :)

  8. By abdullah bin ali on Oct 26, 2008 | Reply

    Dalam mengutarakan perkataan ‘kenapa’ ada ketikanya seseorang itu bertujuan bagi melindungi setiap kesalahan yang dibuat.

    Sebagai contoh bila seorang penjenayah ditangkap oleh polis lalu terus ditanya ; ‘Encik! Kenapa saya ditahan’.

    Begitu juga bila seorang anak nakal yang balik sekolah lewat bila ditanya oleh ibunya.’Kenapa saya diselidik begitu sekali… adik-adik balik lewat tidak mengapa.’.

    Begitulah persoalan akan timbul bila kepuasan nafsu tidak diperolehi.

    Lalu persoalan kenapa perlu dirujuk kepada ilmu agama iaitu ‘hukum taklifi’ dan ‘hukum wad’i’ yang ada. Mudah-mudahan persoalan kenapa yang dikemukakan oleh orang yang bertanya dan jawapan orang yang ditanya tidak menjadi masalah.

    Meskipun ini adalah satu proses minda interpersonel setiap manusia. Namun persolan kenapa mesti berkualiti sebab yang memiliki cara hidup ialah Islam. Manakala cara hidup yang lain semuanya buta belaka.

  9. By Fadzli Yusof on Oct 26, 2008 | Reply

    Benar kata Sdr abdullah bin ali. Sebab itu kita kena berhati-hati dalam menggunakan ‘kenapa’ terhadap orang lain. Contoh-contoh sdra abdullah di atas adalah dalam kes ‘mempertikaikan kredibiliti’ orang lain; iaitu polis dan ibu. Begitu juga contoh saya di atas sebelum ini.

    ‘Kenapa’ dalam INTRApersonal mempunyai risiko yang rendah. ‘Kenapa’ dalam INTERpersonal mempunyai risiko yang lebih tinggi.

    Jadi, apakah tip yang boleh digunakan jika berhadapan dengan situasi sedemikian? Adakah tidak boleh bertanya langsung?

    Ada caranya…

  10. By abinabihah on Oct 30, 2008 | Reply

    Kenapa?…..
    Satu persoalan yang inginkan jawapan.Penggunaannya mestilah mengikut keadaan.Kenapa perlu menggunakan kenapa?apapun tak mengapa jika menggunakan kenapa pada soalan yang yang memerlukan jawapan kepada kenapa?…kenapa kita sering gunakan kenapa?kenapa yer?… Innamal a’mallubinniat..wassalam

  11. By abdullah bin ali on Nov 9, 2008 | Reply

    Salam abinabihah,

    Masalah kenapa ditimbulkan kerana persoalan ini melibatkan suasana yang tidak selesa dalam perhubungan interpersonel seseorang bagi menangani masalah.

    Kadangkala perkataan kenapa menimbulkan masalah, lebih-lebih lagi dalam hubungan keluarga atau pun sesuatu arahan dalam organisasi.

    Sepatutnya dalam menjaga hubungan baik ini memerlukan toleransi yang tinggi. Penuh hemah dan tanggungjawab supaya hubungan dua hala tidak terjejas.

Post a Comment