Menghadapi Konflik dalam Pasukan

September 4th, 2009 | by Fadzli Yusof |

Konflik tidak selesai dengan kemarahan

Adakalanya kerja secara berpasukan ‘diuji’ dengan krisis dan konflik yang tidak dijangka. Sama ada ia tidak dapat dielakkan ataupun sebaliknya. Kita perlu ingat satu petua penting, jangan melenting! Kerana kemarahan tanpa sebab yang sah tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

Photobucket

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Thabrani, Nabi Muhammad pernah ditanya oleh Abu Dardak, “Wahai Pesuruh Allah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang membawa aku ke syurga.” Nabi menjawab, “Janganlah engkau marah!” Imam al Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin pernah menyebut, “Sesungguhnya ketiadaan marah sama sekali adalah tercela. Yang terpuji ialah perasaan marah yang disuluhi oleh akal dan agama.”

Nabi Muhammad dan Abdullah bin Ubay

Abdullah bin Ubay adalah ketua orang munafik (orang yang bermuka-muka) di Madinah. Dia orang yang sangat berpengaruh, bahkan hampir sahaja dilantik oleh Aus dan Khazraj sebagai pemimpin Madinah sebelum Hijrah Nabi. Tetapi, apabila Nabi Muhammad bersetuju untuk berhijrah, maka Abdullah bin Ubay telah hilang peluang keemasannya itu. Oleh yang demikian, dia berasa sungguh kecewa dan sentiasa mencari jalan mahu menyusahkan Rasulullah dengan berpura-pura memeluk Islam.

Antara ‘kecurangannya’ yang paling besar pernah dilakukan oleh Abdullah adalah ketika kembalinya Nabi Muhammad bersama 400 Muslimin daripada Perang Bani Mustaliq. Antara yang turut serta adalah Abdullah dan anaknya sendiri.

Semasa dalam perjalanan, berlaku sedikit pertengkaran antara seorang Muhajirin (orang yang berasal dari Makkah) dengan seorang Ansar (penduduk asal Madinah) semasa sedang mengambil air minuman. Pertengkaran itu bersifat peribadi, tetapi akhirnya ‘diperhangatkan’ oleh Abdullah bin Ubai. Abdullah memberikan ucapan kepada orang-orang Ansar mengatakan golongan Muhajirin menjadi besar kepala kerana orang Ansar terlalu memberi muka kepada mereka.

Apabila berita ini sampai kepada pengetahuan Nabi, beliau tidak melenting, sebaliknya tenang dan berfikir mencari jalan yang terbaik. Umar bin Khattab yang berada di sampingnya memohon untuk memancung kepala Abdullah sahaja. Tetapi Nabi berkata, “Adakah kamu suka dikatakan bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri?”

Apa yang dilakukan oleh Nabi adalah mengarahkan supaya rombongan segera bertolak pulang. Kali ini, perjalanan mereka memakan masa sehingga dua hari satu malam tanpa henti-henti. Anda tahu apa yang berlaku? Ya, sudah tentu mereka semua menjadi letih. Mereka juga tidak banyak masa untuk bercerita-cerita dan bergosip sehingga memburukkan lagi suasana. Lebih menarik lagi, apabila matahari terbenam pada hari kedua perjalanan tanpa henti mereka, Nabi menyuruh rombongan berhenti rehat. Sebaik sahaja mereka berhenti, rombongan itu semuanya tertidur kepenatan. Sekali lagi mereka tiada masa mengadu-domba sesama sendiri.

Di samping itu, strategi ini membuatkan orang semakin lupa dengan peristiwa tiga hari sebelum itu. Manakala Abdullah dan penyokong-penyokongnya mula tertanya-tanya apakah bentuk hukuman yang akan dijatuhkan oleh Nabi ke atas mereka. Terdengar khabar angin mengatakan Abdullah akan dijatuhi hukuman bunuh. Apabila terdengar berita tersebut, anak Abdullah sendiri telah berjumpa Nabi dan menawarkan diri untuk membunuh ayah kandungnya! Namun, Nabi dengan berlapang dada meyakinkannya yang Abdullah tidak akan dihukum dengan pedang, tetapi dengan cara yang lebih baik.

Polisi yang diambil oleh Nabi ini begitu mengharukan, sehingga menyebabkan penyokong-penyokong Abdullah sendiri mula mengenepikannya. Bahkan mereka mula tidak endahkan Abdullah, serta melayan ‘pemimpin’ mereka itu dengan kekasaran. Lama kelamaan, kelompok munafik ini semakin lemah dan lemah kerana tindakan ‘hikmah’ yang diambil oleh Nabi. Nabi pun berkata kepada Umar;

“Sekarang apa pendapatmu Umar? Jika aku menurut cadanganmu dulu (membunuh Abdullah), sudah tentu orang-orangnya bangun memberontak. Tetapi sekarang, jika aku memerintahkan supaya dia dibunuh, sudah tentu dia akan dibunuh oleh orang-orangnya sendiri!” Umar mengiyakan kebijaksanaan dan keberkatan Nabi Muhammad yang terpuji itu.

  1. 4 Responses to “Menghadapi Konflik dalam Pasukan”

  2. By MuhdSuhaily on Sep 9, 2009 | Reply

    Salam,

    Betul tu,setuju. Umpama kita membakar kilang bom dimana kita berada di dalamnya, akhirnya diri sendiri merana malahan ketegangan bertambah diluar kawalan. Berfikiran positif dan sabar serta sentiasa mencari kekurangan diri mungkin boleh meredahkan keadaan.

    Terimakasih

  3. By abdullah bin ali on Sep 13, 2009 | Reply

    Zaman Rasulullah s.a.w. umat Islam yang beriman merupakan ibarat permata yang telah diuji. Manakala orang-orang yang berpura-pura Islam seperti Abdullah Ubai mudah untuk dikeluarkan dari golongan ahli takwa. Namun hari ini orang yang bertakwa sudah kerdil dibandingkan orang jahil meskipun semua mereka mengakui beriman dengan Allah.

    Petunjuk Nabi s.a.w. sudah semakin keliru. Sunnah Nabi saw satu persatu ditinggalkan oleh ummahnya sendiri. Akhirnya perkara dollalah (iaitu perkara-perkara baru yang diada-adakan) disangka perjalanan mulia yang diwarisi dari Nabi Muhammad s.a.w.

    Akhirnya perkara sesat sudah tidak dianggap salah lagi. Sebagai contoh hari ini ramai orang perempuan akan rasa malu hendak memakai purdah dibandingkan dengan mudah untuk memakai baju seluar yang ketat-ketat dan tiada malu aib pada sesiapa lagi. Nauzubillah.

  4. By Muhd Suhaily on Sep 13, 2009 | Reply

    Salam,

    Saya setuju dgn pendapat Abdullah bin Ali cuma satu kemuskilan, adakah memakai purdah satu perkara yang wajib? Mohon maaf sekiranya soalan seperti ini sepatutnya sudah diketahui dan difahami tapi masih ada yang belum megetahuinya sepenuhnya termasuk diri saya. Apa pendapat FY mengenai perkara ini?

    Muhd Suhaily George Bin Abdullah

  5. By abdullah bin ali on Sep 17, 2009 | Reply

    Pakai purdah itu tidak wajib, tapi TUTUP AURAT DARI PANDANGAN ORANG LELAKI YANG HALAL BERKAHWIN DENGANNYA adalah WAJIB MUTLAK. Tiada kompromi lagi, tiada kelonggaran kecuali dalam keadaan darurat luarduga.

    Namun memakai purdah adalah terlebih afdal dan terlebih tinggi akhlaknya. Sejuk mata memandang……..

    Selamat hari raya eidilfitri…….

Post a Comment