Prinsip Sungai Kehidupan
September 2nd, 2009 | by Fadzli Yusof |Kehidupan ini umpama sebuah sungai yang deras, yang mana hujungnya adalah sabuah air terjun yang tinggi, kuat, dan sungguh ganas. Di bawah air terjun penuh dengan batu-batu keras dan tajam; yang pasti akan menghancurkan apa sahaja yang jatuh ke bawah.
Manusia umpama berada di sungai yang deras itu. Mereka akan sentiasa ditolak oleh arus sungai, menuju ke arah air terjun. Cuba bayangkan anda dalam situasi tersebut, apa yang anda akan lakukan?
Ya, apa yang anda perlu lakukan ialah dengan berenang melawan arus, menuju ke lorong sungai yang selamat, yang boleh membawa anda ke lautan kejayaan. Mereka yang gagal tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi mereka tidak pernah merancang dan bertindak untuk apa-apa! Mereka membiarkan diri mereka dibawa arus. Mereka asyik dan bersantai-santai dengan arus sungai yang dingin dan membelai itu. Mereka tidak tahu (atau buat-buat tak tahu) bahawa di hujung sana ada air terjun kejam yang sedang menanti. Mereka hanya mengikut arus. Destinasi mereka ditentukan oleh arus, bukan mereka yang menentukannya destinasi mereka sendiri.
Cubalah bertanya kepada pakcik peminta sedekah yang merempat di tepi jalan. Adakah dia akan berkata, “Pakcik memang merancang untuk jadi pengemis!”, atau mungkinkah seorang penagih dadah akan memberitahu, “Abang masa kecil memang bercita-cita untuk jadi penagih tegar!”. Adakah mungkin? Gila!
Mereka tidak pernah terfikir pun untuk hidup susah, menderita, merempat dan gagal. Mereka cuma teruskan hidup. Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun; mereka hanya HIDUP, tetapi tidak mengawal hidup mereka sendiri. Bila bersekolah, mereka berkawan dengan pelajar yang hanya tahu berseronok. Bila ditawarkan rokok, mereka mencuba. Bila ketagih, dapatkan duit. Bila sekolah tidak memberikan duit, mereka ponteng. Mereka berhenti sekolah. Mereka lepak sebab rehat dan seronok. Mereka bergaul bebas sebab nafsu terangsang. Mereka merempit sebab macam hebat. Mereka menganggur, sebab majikan itu membosankan. Mereka terus menganggur, sebab mereka masih suka melepak dan bergelak ketawa. Berpeluh dan berfikir perlukan usaha. Itu tidak seronok!
Mereka tidak merancang, menanam azam, menetapkan sasaran, menentukan strategi, mempelajari perkara baru, dan berusaha keras. Mereka ENGGAN untuk berenang melawan arus yang deras. Dan akhir sekali, apabila tiba di hujung sungai, mereka jatuh dan berhempas di atas batu-batu keras dan tajam. Ia sungguh menderitakan. Sakit dan memeritkan.
Anda tidak perlu merancang untuk GAGAL. Tiada perancangan itu sendiri, sudahpun satu kegagalan.
Bagaimana anda selepas ini?


5 Responses to “Prinsip Sungai Kehidupan”
By abdullah bin ali on Sep 13, 2009 | Reply
Gagal atau berjaya itu bukan milik siapa-siapa. Gagal atau jaya itu adalah milik Allah.
Cerita sungai dan air terjun yang tajam itu pun ada sejarahnya. Itulah sebenarnya hasil penyesalan seorang hamba Allah setelah dikeluarkan dari Syurga. Menangis Adam a.s. mengenang dosa dan kesalahan yang dilakukan penuh penyesalan. Hasilnya keluarlah mata air yang mengalir membentuk sungai yang semakin melebar menuruni lurah bukit dan gunung akhirnya menemui muara lautan yang luas.
Manusia jarang melihat sudut hakiki, tapi ramai bersajak dan mencari rahsia kehidupan duniawi. Walhal perkara dunia ini adalah rahsia kehidupan akhirat. Dunia ini usahlah diterjemah apa-apa kerana pusingan kehidupannya adalah dikawal oleh Allah.
Tugasan kita sebagai khalifah mengurus mengikut fitrah yang telah ditetapkan Allah sebagaimana termaktub dalam Al-Quran. Jangan kita banyak menyangka satu-satu perkara yang tidak pernah Quran aturkan. Akal pemikiran manusia tidak dapat melangkah kehendak dan ketetapan Ilahi. Had pemikiran manusia telah diblog oleh Allah Taala, sebab itulah akal tidak mampu untuk memikirkan roh, dosa, pahala dan lain-lain perkara sam’iyat.
Semua itu dapat diyakini dengan hati iaitu ‘rohani’ atau ‘kalbu’. Ini sahaja pancaindera yang dapat beriman dengan Allah Taala, yang lain semua buta belaka. Jika hati terang, maka cahaya keimanan akan bersinar setiap pancaindera jasad yang lain. Lalu berlakulah satu proses penghambaan yang sempurna dengan Khalid (Tuhannya).
By Pelik Betul on Sep 14, 2009 | Reply
Tuan Abdullah bin Ali mempunyai fikiran yang berkecamuk. Dia kata; “Jangan kita banyak menyangka satu-satu perkara yang tidak pernah Quran aturkan.”
Tapi kisah asal sungai penuh fakta israeliyat. Mana ada Al Quran cakap begitu?
Dia menulis panjang, padahal itu hanya fikiran dan idea dia sahaja, bukannya dari Allah. Bercakap sedap je merendahkan idea orang.
Merendahkan idea orang itu bukan sifat hamba. Itu sifat ’si bongkak’. Paham-paham je lah sapa.
Maaflah Tuan Ali, tapi Tuan terlalu sangat dalam kotak fikir sendiri. Macam susah nak faham kotak fikir orang lain.
Maaf ye Tuan FY…hihi
By abdullah bin ali on Sep 15, 2009 | Reply
Kemenangan sekadar berhujah dimaya ini bukanlah itu satu kejayaan. Kekalahan berkata-kata juga tidak mestinya seseorang itu gagal. Berjaya atau gagal seseorang itu ialah selepas melintasi titian sirotulmustakim di Akhirat nanti. Disini baru boleh dikatakan berjaya.
Demi menjadi manusia terbaik hidup ini perlu diuji supaya terhasil cahaya didalam cahaya. Hati yang jernih sejernih air yang jatuh dari gunung. Hati yang tidak puas menyebut nama Allah.
Seluruh kehidupan ini ada sejarah dijadikan oleh Allah. Tidak semua perkara Allah Taala sebut dalam Al-Quran. Sebagai contoh cara gulai daging 3 rasa, buat nasi beriani dsbnya.
Perlu dipertajamkan keimanan supaya menjadi tulin sebagaimana keimanan orang-orang yang telah berjaya (iaitu Nabi-Nabi, Ulamak Muktabar dan orang-orang soleh).
Lalu mudahlah segala urusan hidup ini hendak dijana dan diterokai. Biar jelas dulu ilmu dari Allah, lepas tu ambil ilmu makhluk pun tak jadi masalahlah sebab makhluk itu adalah aset-aset keyakinan yang kukuh untuk sampai kepada Allah. Itu sahaja pertimbangan syumul segala urusan khalifah atas muka bumi ini.
By abdullah bin ali on Sep 16, 2009 | Reply
Manusia menyangka pemikiran kemajuan itulah rumpun kesempurnaan. Walhal ketentuan akal tidak dapat menyemberangi batasan ‘kebesaran Allah’. Daya fikir yag dimiliki manusia adalah pinjaman dari Allah semata-mata.Tiada yag hakiki.Betapa ramai manusia diatas muka bumi ditarik balik akalnya oleh Allah sehingga mereka digelar’manusia tidak berakal’. Pada hal otaknya masih ada dan dapat berfungsi serta boleh menterjemah apa saje termasuk lapar dan dahaga. Bilamana demikian keadaannya, jadilah mereka orang-orang yang tidak siuman atau dipanggil ‘orang gila’.
Begitulah hakikat kejadian ‘manusia’. Diberi amanah akal oleh Allah untuk mengurus setiap jasadnya supaya betul-betul berada dalam ‘ kandang kesempurnaan’. Akal yang sempurna tidak lain dan tidak bukan semata-mata digunakan untuk Allah. Seluruh fikiran dicurah untuk meninggikan Agama Allah iaitu ‘Islam’. Termasuk seluruh jasad dan nyawa perlu dikembalikan kepada Allah. Inilah sahaja jalan atau tarekah yang kamil. Tidak ada satu benda yang wujud atas muka bumi dijadikan sia-sia oleh Allah. Semua itu adalah aset-aset untuk manusia berfikir supaya sampai kepada Allah.
Benarlah firman Allah yang bermaksud : “Daripada Allah mereka datang dan kepada Allah mereka akan dikembalikan”.
Lantas manusia mana dapat menyedarkan diri masing-masing akan rahsia anugerah akal, merekalah sebenarnya insan-insan yang berjaya. Mengoptima seluruh jiwa dan riohani untuk diibadat dan diabdikan kepada Allah bagi meletakkan diri benar-benar dapat memberi manafaat. Baik dunia maupun kemenangan akhirat.
Janganlah jadi manusia yang sia-sia. Manusia yang hilang akal dan pedoman kerana fikiran diletakkan pada tempat yang salah. Iaitu menzalimi diri sendiri.
Banyak akal-akal dialaf baru milinium hari ini telah rosak disebalik kemewahan hidup dunia. Fikiran mereka jadi fikiran yang kasih kepada dunia dan benci kepada mati. Walhal mati itu sendiri memberitahu bahawa sampainya seseorang kehadrat Tuhannya (Allah). Tidak kira ianya seorang manusia biasa yag hina ataupun pemimpin negara yang berkuasa. Ramai pemikiran mereka telah rosak dan hilang akal kerana ada lagi kasih selain daripada Allah. Inilah rupanya jiwa-jiwa yang rugi kerana turut menzalimi diri masing-masing dan tidak temui jalan- jalan kebenaran. Nauzubillah…
Demi masa, lahirlah hati-hati insan yang longlai kebuluran dan kehausan dengan kebenaran. Lalu bagaimanakah dunia ini akan makmur dan sejahtera?
Manusia sudah hilang kesyukuran dan berada diatas jalan pedih lagi gersang. Jiwa menjadi kosong dan sunyi dari rahmat Allah. Akhirnya meraba-raba bagai kata orang-orang tua :’Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran’. Jati diri hanyalah sekadar cogankata.
Hidup dunia ini hilang keberkatan dan akhirat terkapai-kapai lemas dalam lautan penyesalan.
By nak tahu on Sep 20, 2009 | Reply
tiada komen ingin saya hamparkan,cuma ingin bertanya kepada pak cik abdullah.Apa maksud kejayaan bukan milik sesiapa?tetapi milik Allah?