Salam Aidiltri: Kembalikah FITRAH?

September 16th, 2009 | by Fadzli Yusof |

Hari Raya kita boleh bergembira. Kenapa? Untuk apa? Gembira kerana kita mendapat semula fitrah perkasa power unggul milik manusia. Fitrah manusia yang bersih dan mulus. Fitrah ubudiyah dan fitrah kuasa kawal terhadap diri sendiri. Fitrah kesabaran menempuhi dugaan hidup. Fitrah ‘taqwa’ yang menjadi matlamat Ramadhan itu sendiri.

Aduhai, indahnya hidup kalau benar-benar memilikinya…

Memang layak lah bagi mereka untuk bergembira.

Ramadhan mengajar kita tentang self control - kuasa kawal diri. Kuasa kawal diri bermaksud, kita yang menentukan fikiran, emosi dan tindakan kita. Kita kawal diri kita sendiri; samada mahu fikir atau tidak, mahu sedih atau gembira, mahu patuh atau ingkar, mahu buat atau tinggalkan. Kita yang tentukan, bukan nafsu dan syaitan. Kita yang tentukan, untuk mencapai ubudiyah dan rasa bertuhan.

Kuasa kawal diri itu menghasilkan kesabaran.Kesabaran itu tunjang taqwa. Taqwa pula tunjang ubudiyah. Ubudiyah itu mengabdikan kepada Allah. Dan Allah itulah tujuan kita berhidup.

Photobucket Jadi, berapakah ‘markah’ Ramadhan kita? Apakah skema pemarkahannya? Mungkin idea di bawah ini boleh membantu kita memikirkannya:

1. Adakah anda telah bertahajud sepertiga akhir malam pada setiap 30 malam Ramadhan?

2. Adakah anda bertarawih setiap malam?

3. Adakah anda bersolat Isyak dan Subuh berjamaah setiap malam?

4. Adakah anda berjaya menghabiskan 30 juzuk bacaan alQuran sepanjang Ramadhan?

5. Adakah anda bersedekah sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan?

6. Adakah anda ?tetap dengan Ma’thurat pagi dan petang?

7. Anda anda beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari?

8. Adakah anda melakukan solat sunat Dhuha, Rawatib, Taubat, Hajat setiap hari sepanjang Ramadhan?

Rasa malu pula untuk bertakbir di Aidilfitri, kerana itu simbol kemenangan dan kehebatan. Semoga Allah menerima Ramadhan kita, memberikan pengampunan, dan memberkati setiap kebaikan yang diberikan. Agar nanti terubatlah sedikit kekurangan Ramadhan. Agar nanti boleh kita mengukir senyum dan menyulam rasa di pagi Syawal.

Aduhai Ramadhan. Aduhai diri ini. Aduhai Aidilfitri…

Selamat Hari Raya untuk semua :)

  1. 3 Responses to “Salam Aidiltri: Kembalikah FITRAH?”

  2. By abdullah bin ali on Sep 17, 2009 | Reply

    ‘ HISABLAH DIRI MASING-MASING SEBELUM DIHISAB DI PADANG MASYAR’ kata Sy. Umar Al Khatab r.a.

    Marilah sama-sama kita bermuhasabah setiap detik nadi berdenyut. Kita hitung apalah kebajikan yang kita buat setiap detik masa beralih.

    Bukan bulan Ramadan kita berkira bicara. Jadikan bulan contoh ini sebagai idola pada 11 bulan yang lain mendidik diri kita kejalan kebaikkan dan kebenaran.

    Kesempatan 1 Syawal beberapa detik lagi terimalah ‘ salam eidilfitri dari abdullah untuk semua pengunjung blog ini termasuk Sdr Fazli’ - salam kemaafan sepanjang berpena & salah silap keudara.

  3. By Siti Fatimah Ahmad on Sep 18, 2009 | Reply

    KEPADA SAHABAT YANG BAIK, SAUDARA FADZLI YUSUF… SAMBUTLAH UCAPAN DARI SAYA. SERANGKAI KATA PENGGANTI DIRI. UNTUK MENYAMBUT HARI BAHAGIA. JARI SEPULUH DI SUSUN JUGA. AGAR KESALAHAN DIAMPUN SEMUA. TANDA IKHLAS PERSAHABATAN KITA. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI 1 SYAWAL 1430 H. MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN. SALAM KEMESRAAN DARI SARIKEI, SARAWAK.

    # Maaf, sudah lama tidak berkunjung, mudahan ilmu yang dikongsikan mendapat keberkatan dan rahmat dari Yang Maha Esa. Teruskan usaha membidik hati manusia dengan kasih sayang menerusi motivasi yang ditebarkan. Selamat Maju Jaya.

  4. By MuhdSuhaily on Sep 19, 2009 | Reply

    Salam,

    Ramadan adalah bulan paling istimewa berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Seharusnya kita bersama-sama meningkatkan keimanan dibulan yang penuh keberkatan dengan mendekatkan diri kepada ALLAH. Sesungguhnya mengkhatamkan Al-Quran setiap muslim adalah amalan paling mulia dan utama disamping mengerjakan yang sunat dan wajib. Semoga malam 10 akhir kita akan mendapat keberkatan dan dimurahkan rezeki. INSYALLAH..

    “Sesungguhnya Jibril a.s sentiasa melawat al-Quran Nabi sekali dalam setahun. Pada tahun Nabi S.A.W diwafatkan, Jibril telah datang melawat Al-Quran baginda sebanyak dua kali.” - Hadis riwayat al-Bukhari.

    Ibn al-Atsir r.a berkata…
    “Apa yang dimaksudkan dengan ungakapan ‘melawat’ disini ialah Jibril akan mengajar seluruh isi kandungan al-Quran kepada baginda dan mengkhatamkannya.”

    Kitab al-Jami’fi Gharib al-Hadis, jil4, ms64

Post a Comment