Tip Kerja Berpasukan: Merenjis Air Mawar

September 11th, 2009

Ini bukanlah kaedah dalam mengagihkan tugas, tetapi tip penting untuk kita lakukan selepas kerja dibereskan. Ia ringkas sahaja iaitu ‘pujian dan penghargaan’. Kita mesti faham satu konsep yang lebih jelas iaitu setiap di kalangan kita adalah manusia dan manusia mempunyai harga diri. Hormati harga diri orang lain dan jagalah emosi mereka. Mereka bukannya robot yang boleh disuruh berbuat apa sahaja tanpa penghargaan. Manusia inginkan penghargaan. ‘Renjiskan’ penghargaan kepada mereka dengan bersungguh-sungguh. Thomas Fuller pernah menyebut, ‘Praise makes good men better’.
Photobucket
Pernahkah kita menyaksikan majlis persandingan? Biasanya sepasang pengantin duduk di atas pelamin yang cantik dan gilang gemilang. Kemudian, datang tetamu satu persatu ke pentas pelamin merenjis tepung tawar. Apabila orang yang menepung tawar itu orang yang berkedudukan, semakin bangga pengantin dan keluarga mereka. Tahukah anda apakah gelaran kepada pasangan pengantin? Ya, mereka begitu gembira dan berprestij, sehingga digelar sebagai ‘Raja Sehari’. Kenapa? Kerana mereka begitu dihargai oleh semua yang ada pada hari itu.

Begitu juga apabila anda bekerja bersama orang lain. Hargailah mereka yang melakukan tugasan itu dengan ‘merenjiskan’ pujian dan penghargaan kepada mereka. Bagaimana hendak merenjiskan air mawar? Bukannya susah. Pertama sekali, ungkapkan terima kasih dengan wajah senyum dan manis. Luahkan kita benar-benar menghargai apa yang telah dilakukannya. Sebut juga faedah dan manfaat yang mungkin diperoleh oleh organisasi hasil daripada kerja yang cemerlang itu.

Kedua, sebutkan dengan jelas dan terperinci apakah perkara yang kita sukakan dalam kerja itu. Mungkin kerana susunannya ataupun rekabentuknya ataupun warnanya, atau ketepatan masanya dan banyak lagi. Tunjukkan kita benar-benar mengagumi hasil kerja mereka.

Ketiga, kita boleh juga menggunakan hubungan fizikal bagi mencantikkan lagi ‘renjisan’ mawar kita itu. Kita boleh menepuk belakang atau berjabat tangan dengannya. Pandang ke arah matanya, senyum dan tunjukkan kita benar-benar menghargai hasil kerjanya itu. Kajian menunjukkan sentuhan fizikal dapat mempengaruhi emosi seorang itu. Ini kerana badan manusia mempunyai gelombang masing-masing. Apabila badan kita bersentuh, ia mempengaruhi emosi dan perasaan seseorang.

Ada pantang larang dalam tip ini. Seperti biasa, jangan hipokrit sesama ahli pasukan. Hargai mereka secara ikhlas dari hati. Latih hati kita menjadi baik dan lembut. Puji mereka dari hati. Apabila anda berpura-pura, pasti orang lain menyedarinya. Apabila kita berpura-pura memuji, orang lain tidak sedikit pun rasa dihargai, bahkan ia dapat menimbulkan rasa jelek dan menyampah pada diri anda. Jadi, pastikan anda berhati-hati semasa ‘merenjis mawar’. Tersalah cara, buruk padahnya!

Menghadapi Konflik dalam Pasukan

September 4th, 2009

Konflik tidak selesai dengan kemarahan

Adakalanya kerja secara berpasukan ‘diuji’ dengan krisis dan konflik yang tidak dijangka. Sama ada ia tidak dapat dielakkan ataupun sebaliknya. Kita perlu ingat satu petua penting, jangan melenting! Kerana kemarahan tanpa sebab yang sah tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

Photobucket

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Thabrani, Nabi Muhammad pernah ditanya oleh Abu Dardak, “Wahai Pesuruh Allah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang membawa aku ke syurga.” Nabi menjawab, “Janganlah engkau marah!” Imam al Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin pernah menyebut, “Sesungguhnya ketiadaan marah sama sekali adalah tercela. Yang terpuji ialah perasaan marah yang disuluhi oleh akal dan agama.”

Nabi Muhammad dan Abdullah bin Ubay

Abdullah bin Ubay adalah ketua orang munafik (orang yang bermuka-muka) di Madinah. Dia orang yang sangat berpengaruh, bahkan hampir sahaja dilantik oleh Aus dan Khazraj sebagai pemimpin Madinah sebelum Hijrah Nabi. Tetapi, apabila Nabi Muhammad bersetuju untuk berhijrah, maka Abdullah bin Ubay telah hilang peluang keemasannya itu. Oleh yang demikian, dia berasa sungguh kecewa dan sentiasa mencari jalan mahu menyusahkan Rasulullah dengan berpura-pura memeluk Islam.

Antara ‘kecurangannya’ yang paling besar pernah dilakukan oleh Abdullah adalah ketika kembalinya Nabi Muhammad bersama 400 Muslimin daripada Perang Bani Mustaliq. Antara yang turut serta adalah Abdullah dan anaknya sendiri.

Semasa dalam perjalanan, berlaku sedikit pertengkaran antara seorang Muhajirin (orang yang berasal dari Makkah) dengan seorang Ansar (penduduk asal Madinah) semasa sedang mengambil air minuman. Pertengkaran itu bersifat peribadi, tetapi akhirnya ‘diperhangatkan’ oleh Abdullah bin Ubai. Abdullah memberikan ucapan kepada orang-orang Ansar mengatakan golongan Muhajirin menjadi besar kepala kerana orang Ansar terlalu memberi muka kepada mereka.

Apabila berita ini sampai kepada pengetahuan Nabi, beliau tidak melenting, sebaliknya tenang dan berfikir mencari jalan yang terbaik. Umar bin Khattab yang berada di sampingnya memohon untuk memancung kepala Abdullah sahaja. Tetapi Nabi berkata, “Adakah kamu suka dikatakan bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya sendiri?”

Apa yang dilakukan oleh Nabi adalah mengarahkan supaya rombongan segera bertolak pulang. Kali ini, perjalanan mereka memakan masa sehingga dua hari satu malam tanpa henti-henti. Anda tahu apa yang berlaku? Ya, sudah tentu mereka semua menjadi letih. Mereka juga tidak banyak masa untuk bercerita-cerita dan bergosip sehingga memburukkan lagi suasana. Lebih menarik lagi, apabila matahari terbenam pada hari kedua perjalanan tanpa henti mereka, Nabi menyuruh rombongan berhenti rehat. Sebaik sahaja mereka berhenti, rombongan itu semuanya tertidur kepenatan. Sekali lagi mereka tiada masa mengadu-domba sesama sendiri.

Di samping itu, strategi ini membuatkan orang semakin lupa dengan peristiwa tiga hari sebelum itu. Manakala Abdullah dan penyokong-penyokongnya mula tertanya-tanya apakah bentuk hukuman yang akan dijatuhkan oleh Nabi ke atas mereka. Terdengar khabar angin mengatakan Abdullah akan dijatuhi hukuman bunuh. Apabila terdengar berita tersebut, anak Abdullah sendiri telah berjumpa Nabi dan menawarkan diri untuk membunuh ayah kandungnya! Namun, Nabi dengan berlapang dada meyakinkannya yang Abdullah tidak akan dihukum dengan pedang, tetapi dengan cara yang lebih baik.

Polisi yang diambil oleh Nabi ini begitu mengharukan, sehingga menyebabkan penyokong-penyokong Abdullah sendiri mula mengenepikannya. Bahkan mereka mula tidak endahkan Abdullah, serta melayan ‘pemimpin’ mereka itu dengan kekasaran. Lama kelamaan, kelompok munafik ini semakin lemah dan lemah kerana tindakan ‘hikmah’ yang diambil oleh Nabi. Nabi pun berkata kepada Umar;

“Sekarang apa pendapatmu Umar? Jika aku menurut cadanganmu dulu (membunuh Abdullah), sudah tentu orang-orangnya bangun memberontak. Tetapi sekarang, jika aku memerintahkan supaya dia dibunuh, sudah tentu dia akan dibunuh oleh orang-orangnya sendiri!” Umar mengiyakan kebijaksanaan dan keberkatan Nabi Muhammad yang terpuji itu.

Prinsip Sungai Kehidupan

September 2nd, 2009

Kehidupan ini umpama sebuah sungai yang deras, yang mana hujungnya adalah sabuah air terjun yang tinggi, kuat, dan sungguh ganas. Di bawah air terjun penuh dengan batu-batu keras dan tajam; yang pasti akan menghancurkan apa sahaja yang jatuh ke bawah.

Photobucket

Manusia umpama berada di sungai yang deras itu. Mereka akan sentiasa ditolak oleh arus sungai, menuju ke arah air terjun. Cuba bayangkan anda dalam situasi tersebut, apa yang anda akan lakukan?

Ya, apa yang anda perlu lakukan ialah dengan berenang melawan arus, menuju ke lorong sungai yang selamat, yang boleh membawa anda ke lautan kejayaan. Mereka yang gagal tidak pernah merancang untuk gagal, tetapi mereka tidak pernah merancang dan bertindak untuk apa-apa! Mereka membiarkan diri mereka dibawa arus. Mereka asyik dan bersantai-santai dengan arus sungai yang dingin dan membelai itu. Mereka tidak tahu (atau buat-buat tak tahu) bahawa di hujung sana ada air terjun kejam yang sedang menanti. Mereka hanya mengikut arus. Destinasi mereka ditentukan oleh arus, bukan mereka yang menentukannya destinasi mereka sendiri.

Cubalah bertanya kepada pakcik peminta sedekah yang merempat di tepi jalan. Adakah dia akan berkata, “Pakcik memang merancang untuk jadi pengemis!”, atau mungkinkah seorang penagih dadah akan memberitahu, “Abang masa kecil memang bercita-cita untuk jadi penagih tegar!”. Adakah mungkin? Gila!

Photobucket

Mereka tidak pernah terfikir pun untuk hidup susah, menderita, merempat dan gagal. Mereka cuma teruskan hidup. Dari hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun; mereka hanya HIDUP, tetapi tidak mengawal hidup mereka sendiri. Bila bersekolah, mereka berkawan dengan pelajar yang hanya tahu berseronok. Bila ditawarkan rokok, mereka mencuba. Bila ketagih, dapatkan duit. Bila sekolah tidak memberikan duit, mereka ponteng. Mereka berhenti sekolah. Mereka lepak sebab rehat dan seronok. Mereka bergaul bebas sebab nafsu terangsang. Mereka merempit sebab macam hebat. Mereka menganggur, sebab majikan itu membosankan. Mereka terus menganggur, sebab mereka masih suka melepak dan bergelak ketawa. Berpeluh dan berfikir perlukan usaha. Itu tidak seronok!

Mereka tidak merancang, menanam azam, menetapkan sasaran, menentukan strategi, mempelajari perkara baru, dan berusaha keras. Mereka ENGGAN untuk berenang melawan arus yang deras. Dan akhir sekali, apabila tiba di hujung sungai, mereka jatuh dan berhempas di atas batu-batu keras dan tajam. Ia sungguh menderitakan. Sakit dan memeritkan.

Anda tidak perlu merancang untuk GAGAL. Tiada perancangan itu sendiri, sudahpun satu kegagalan.

Bagaimana anda selepas ini?

Pengumuman! Majlis Iftar TAMRIN 7 Sept 09

August 30th, 2009

Sukacita dimaklumkan bahawa Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) akan menganjurkan majlis IFTAR Ramadhan 2009 (Berbuka Puasa) eksklusif untuk penggiat industri latihan dan bina insan tanahair.

Dapatkan tip dari motivator nasional, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, dan Dr Tengku Asmadi Mohamed; serta ruang untuk saling bertukar-tukar idea dengan kenalan baru.

Butiran majlis adalah seperti berikut:

Tarikh: 7 September 2009
Tempat: DePalma Hotel Ampang
Masa: 3.00pm – 8.30pm
Yuran Penyertaan: RM85.00

Aturcara Majlis
2.30pm: Ketibaan Para Jemputan
3.00pm: Sessi Perkongsian Istimewa oleh Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah (Penasihat TAMRIN), Tajuk “Langkah Hebat Trainer Terbilang”
4.45pm: Solat Asar
5.15pm Forum / Dialog bersama Dr. Tengku Asmadi (Presiden TAMRIN) & Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah
6.45pm IFTAR
7.30pm Solat Maghrib
7.45pm Jamuan & ramah mesra
8.30pm Bersurai

Kepada para perunding latihan, perunding motivasi, penceramah, dan sesiapa yang berminat, boleh segera mendaftar dengan menghubungi Sekretariat TAMRIN,
(En. Rashid) di talian 016 5580719

Fadzli Yusof live di Selamat Pagi Malaysia

August 30th, 2009

Photobucket
Sudah lama saya tidak maklumkan penampilan saya di kaca TV. Adakalanya jemputan dibuat secara mendadak, adakalanya tak sempat untuk saya maklumkan di sini. Berikut adalah info penampilan terkini:

Tarikh: 31 Ogos 2009
Masa: 7.45 pagi
Channel: TV1
Topik: Menghayati Kemerdekaan

Jikalau ada idea tentang topik tersebut, bolehlah berkongsi di sini! Salam sukses daripada saya untuk anda semua. Ramadhan Kareem!